Ikan rebus jadi lauk sahur, berbuka puasa

Noor Azuani Rahyu tinggal di rumah kecil dan daif di Kampung Pasir Pekan Hilir dikunjungi Faizah.
Noor Azuani Rahyu tinggal di rumah kecil dan daif di Kampung Pasir Pekan Hilir dikunjungi Faizah.
A
A
A

TUMPAT - Lapan beranak yang hidup daif di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini terpaksa bersahur dengan berlaukkan telur dan ikan rebus sahaja.

Lauk itu cukup untuk mengalas perut empat anak Noor Azuani Rahyu Mohd Said, 30, manakala dua lagi yang berusia 6 tahun dan dua bulan masih belum mengerti tentang keperitan hidup.

Noor Azuani yang juga baru habis berpantang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah sebanyak RM30 sehari.

"Kami tak ada lauk mewah macam orang lain masa sahur atau buka puasa. Dapat makan ikan rebus dengan kicap pun anak-anak kami dah cukup berselera," katanya.

Menurutnya, ketika dia bekerja, bayinya dihantar ke rumah pengasuh dengan upah RM50 seminggu manakala suaminya, Hamizi Mohd Hanafiah, 35, bekerja memikul simen di Pengkalan Chepa.

"Dengan lima anak bersekolah, dan yang kecil menyusu botol, kadangkala pendapatan kami tak cukup.

"Saya terpaksa minta bantuan keluarga kalau terputus beras," katanya.

Noor Azuani sekeluarga juga bimbang dengan keadaan rumah pusaka yang didiami itu hampir runtuh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rumah yang sempit dengan zink reput dan lantai patah itu juga merisaukannya kerana mengundang bahaya kepada anak-anaknya.

"Kami tak ada bilik air sempurna, lantai banyak yang patah malah kaki anak sering jerlus dan terpaksa guna tirai kain sebab tak ada pintu untuk anak perempuan mandi.

"Kalau hari hujan, saya terpaksa tutup bahagian dinding berlubang dengan baju hujan untuk elakkan tempias sebab saya tidur dengan anak-anak di ruang tamu," katanya.

Nasib keluarga itu mendapat perhatian aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman.

Faizah menghulurkan bantuan barangan dapur dan keperluan Ramadan serta mengambil lima anaknya yang bersekolah sebagai anak prihatin yang akan menerima bantuan.

"Bayi pula akan diberikan bantuan susu dan lampin pakai buang dan ada pihak akan sumbangkan zink menggantikan yang reput itu," katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan sumbangan menerusi akaun Maybank milik Noor Azuani iaitu 153039222768.