Pengerusi surau maut, sembilan cedera nahas tiga kenderaan

Keadaan sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto ihsan BBP Pontian
Keadaan sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto ihsan BBP Pontian
A
A
A

PONTIAN – [DIKEMAS KINI] Seorang pengerusi surau dari Kampung Rimba Terjun di sini maut manakala sembilan lagi cedera dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 72.5 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat pada 12.10 tengah malam Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah Benut menghala ke Pontian itu bertembung dengan kenderaan utiliti (SUV) Toyota Harrier dari arah bertentangan.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, pertembungan berkenaan menyebabkan Toyota Harrier berpusing dan menyebabkan sebuah motosikal jenis Yamaha R150 juga dari arah sama melanggar bahagian pintu belakang sebelah kanan SUV berkenaan yang melintang di tengah jalan.

“Pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemandu Toyota Harrier, penunggang motosikal dan tujuh lagi penumpang kereta Perodua Alza yang cedera dihantar ke Hospital Pontian bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohammad Shofee berkata, pihaknya masih menunggu laporan polis yang dibuat oleh pemandu Toyota Harrier yang kini difahamkan masih menerima rawatan di hospital

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Haron Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.19 tengah malam Ahad.

Katanya, satu jentera dengan tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza, Toyota Harrier dan sebuah motosikal jenis Yamaha.

“Pemandu kereta Perodua Alza yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas," katanya.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.