PRN: BN pilih calon berpengalaman bukan anak beranak

Mohamed Khaled merasmikan UPSI Smarthome Schooling @ Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar Sedili pada Sabtu.
Mohamed Khaled merasmikan UPSI Smarthome Schooling @ Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar Sedili pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Gandingan calon berpengalaman dan muka baharu menjadi kekuatan Barisan Nasional (BN) dalam menarik hati pengundi seterusnya memenangi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tidak wujud istilah calon anak beranak kerana pemilihan dibuat berdasarkan jawatan yang disandang di dalam parti dan pengalaman dimiliki.

Jelasnya, pemilihan isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan anaknya, Mohd Najib sebagai calon BN bukan disebabkan mereka anak beranak.

"Sebagai sebuah parti politik, sudah tentu akan meletakkan calon-calon yang mempunyai keyakinan terhadap perjuangan. Disebabkan itu, BN meletakkan calon di 107 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Pemilihan Puan Sri Bibi Sharliza dan anaknya, Mohd Najib tidak berasaskan anak beranak, tetapi kedua-duanya ada jawatan di dalam parti. Selain itu mereka memegang jawatan di dua kawasan berbeza," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian selepas merasmikan UPSI Smarthome Schooling @ Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar Sedili pada Sabtu.

Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan dipertaruhkan bagi kerusi DUN Juasseh manakala Mohd Najib yang juga Timbalan Ketua UMNO Port Dickson pula akan bersaing di kerusi DUN Bagan Pinang.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu turut menambah walaupun berdepan cabaran, BN tetap optimis untuk mencipta kejayaan berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki dan kerjasama parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Insya-ALLAH banyak kawasan yang BN letakkan calon itu merupakan mereka yang ada pengalaman. Hakikatnya kita akan hadapi cabaran kerana itu lumrah politik ketika pilihan raya," katanya.

Sebelum itu, senarai nama calon BN bagi PRN enam negeri diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia WTC, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

BN meletakkan seramai 107 calon daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan di enam negeri terlibat iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 63 peratus calon dikemukakan merupakan calon muka baharu dengan 18 peratus adalah penyandang sedia ada dan pernah bertanding (20 peratus).

Selain itu, empat bekas Menteri Besar turut menjadi taruhan BN iaitu bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di DUN Kijal dan Seberang Takir.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula bertanding di DUN Rantau manakala bekas Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid di DUN Pedu.