Kempen propaganda parti di Selangor hendaklah di luar kawasan masjid - JAIS

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pentadbir masjid dan surau di seluruh negeri itu supaya menghalang sebarang aktiviti atau program melibatkan ahli politik di kawasan rumah ibadat berkenaan termasuk gambar, slogan atau lambang yang mewakili parti tertentu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua bentuk bahan kempen atau propaganda parti politik hendaklah dipastikan tidak berada di dalam premis bangunan atau di dalam kawasan pagar masjid dan surau.

"Ini memandangkan terdapat kemungkinan akan berlakunya usaha dan ikhtiar daripada parti-parti politik untuk mengadakan aktiviti propaganda politik mereka seperti di masjid dan surau di negeri Selangor.

"Aktiviti yang lazim sebelumnya adalah seperti program pengenalan calon yang bertanding dalam pilihan raya, program sumpah mubahalah, program berkumpulan ahli atau penyokong parti serta lain-lain seumpamanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu juga diingatkan kepada pegawai dan jawatankuasa masjid serta surau di Selangor menerusi surat bertarikh 22 Ogos 2022.

"Ketetapan ini selaras dengan arahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengkehendaki masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas daripada propaganda politik dan politik kepartian. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017, pentadbir masjid dan surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS.

"Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, selain pegawai masjid juga boleh dibatalkan pelantikan mereka oleh MAIS," katanya. - Bernama