Murid dihempap tangki pam tandas, PIBG mahu siasatan menyeluruh

Gambar kiri: Mustafar
Gambar kiri: Mustafar
A
A
A

IPOH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan menggesa siasatan dijalankan secara menyeluruh berhubung insiden tangki pam tandas menimpa seorang murid perempuan sekolah berkenaan.

Yang Dipertua PIBG SK Perpaduan, Mustafar Rahadi berkata, ibu bapa murid sekolah berkenaan mula menyuarakan kebimbangan tentang insiden tersebut kerana risau kejadian berulang.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas dibentuk yang dianggotai pakar teknikal bagi memastikan kemudahan tersebut selamat digunakan.

"Memang kita dimaklumkan tentang projek naik taraf tandas sekolah ini bernilai RM200,000 tetapi bila berlaku kejadian ini, ramai ibu bapa persoalkan dari segi kualiti projek naik taraf ini.

"Malah dalam mesyuarat PIBG sebelum ini juga ada dibangkitkan mengenai naik taraf tandas ini sama ada mengikut spesifikasi ditetapkan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mustafar berkata, ibu bapa berhak menyuarakan kebimbangan itu memandangkan anak mereka hampir setiap hari berada di sekolah tersebut.

Jelasnya, pihak PIBG juga memerlukan penjelasan pihak berkaitan mengenai butiran peruntukan yang telah digunakan untuk projek naik taraf berkenaan kerana jumlah tersebut agak besar.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang murid perempuan Tahun Tiga SK Perpaduan cedera ditimpa tangki pam tandas yang tercabut dalam kejadian pada Selasa lalu.

Perkara itu disahkan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang memaklumkan murid tersebut tidak mengalami kecederaan serius selepas menjalani rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Ketika ditemui pemberita pada Jumaat, mangsa, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Murid Tahun Tiga ditimpa tangki pam tandas

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!