LTdL 2023: Senarai pelumba kebangsaan minggu depan

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

SENARAI pelumba pasukan kebangsaan yang bakal menggalas cabaran pada perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 akan diketahui minggu depan.

Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata, pemilihan pelumba akan turut mengambil kira penilaian terhadap prestasi pada Kejohanan Jalan Raya Kebangsaan 2023 yang bermula hari ini di Bukit Katil, Melaka.

“Senarai itu akan ditentukan selepas perlumbaan acara lepas beramai-ramai. Bagaimanapun, mereka yang akan dipilih ini bukan hanya bersandarkan keputusan pemenang tetapi berdasarkan persembahan kerana kita mahu pantau dan pastikan mereka ini dalam kondisi terbaik.

“Kita ada senarai awal beberapa nama untuk persediaan termasuk empat atau lima bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) selain beberapa pelumba dari negeri lain dan senarai itu akan diserahkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM),” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Mohd Yusof berkata, pihaknya menerusi PKBM telah memohon bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk latihan menghadapi LTdL 2023 dan berharap mereka yang terpilih kelak akan memberikan kerjasama untuk persediaan LTdL 2023.

Perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 tahun ini, bakal berlangsung dari 23 hingga 30 September depan membabitkan lapan peringkat perlumbaan merentasi 11 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer.