PM pelawa pelabur Vietnam, beri jaminan kerajaan mudahkan urusan

Anwar beramah mesra bersama Presiden Vietnam, Vo Van Thuong ketika kunjungan hormat sempena lawatan Perdana Menteri ke Vietnam di The Presidential Palace hari ini. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama Presiden Vietnam, Vo Van Thuong ketika kunjungan hormat sempena lawatan Perdana Menteri ke Vietnam di The Presidential Palace hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa pelabur Vietnam untuk membuat pelaburan di Malaysia dan memberi jaminan Kerajaan Perpaduan untuk mempermudahkan urusan pelaburan mereka di negara ini.

Pelawaan itu disuarakan beliau ketika bertemu komuniti perniagaan dalam program Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam di Hanoi pada hari kedua lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.

"Saya yakin dan percaya dengan adanya hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara menerusi pelbagai bidang,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya hari ini.

Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Hanoi petang semalam untuk lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan berlepas pulang ke ibu negara petang tadi.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan penghargaannya kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas usaha dilakukan beliau dalam menarik pelabur ke Malaysia.

Dalam hantaran Facebook berasingan, Perdana Menteri berkata, sebelum berlepas pulang ke ibu negara, beliau dan delegasinya turut berkongsi mengenai kunjungan hormat beliau dan delegasi ke atas Presiden Vietnam, Vo Van Thuong.

"Saya telah menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Vietnam.

Tidak dapat dinafikan, kedua-dua negara mempunyai kerjasama ekonomi yang kukuh dan saya percaya masih terdapat banyak peluang kerjasama baharu yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara terutamanya dalam bidang pertanian dan industri halal," katanya.

Anwar yang mempunyai jadual padat di Hanoi berkata, ketika pertemuan itu beliau turut mengambil kesempatan menerangkan dasar-dasar baharu negara kepada Thuong dan mempelawanya untuk berkunjung ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Selain itu, Anwar berkata, beliau dan delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Dewan Rakyat Vietnam, Vuong Dinh Hue dan menyampaikan hasrat Dewan Rakyat Malaysia untuk mempergiatkan hubungan bagi menggalakkan kerjasama lebih erat menerusi dialog dan pertukaran maklumat.

"Saya juga nyatakan keperluan untuk Malaysia dan Vietnam terus bekerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang yang dikuasai sekali gus mendapat manfaat bersama.

Semoga hubungan Malaysia dan Vietnam terus diperkasa sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara," katanya. - Bernama