Kempen PRN bukan 'lesen' mengumpat, fitnah - Sultan Selangor

Sultan Selangor meminta umat Islam menjauhi perbuatan mengumpat, mencela, mencaci dan memfitnah terutama menjelang musim pilihan raya.
Sultan Selangor meminta umat Islam menjauhi perbuatan mengumpat, mencela, mencaci dan memfitnah terutama menjelang musim pilihan raya.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua calon dan penyokong parti bahawa tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) bukanlan lesen yang 'menghalalkan' mereka melakukan perbuatan tercela.

Baginda turut mengingatkan umat Islam berhati-hati dalam apa yang diperkatakan kerana hukum-hakam ALLAH tetap berjalan dan meminta mereka tidak memandang ringan terhadap peringatan dan hukuman di akhirat kelak.

"Sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN), semua calon dan penyokong diingatkan bahawa tempoh berkempen bukanlah lesen untuk mengumpat, mencela, mencerca, menghina dan memfitnah orang lain dengan sebebasnya.

"Ingatlah hukum ALLAH akan tetap berjalan dalam keadaan apapun dan tiada sebab yang boleh menghalalkannya.

'Ingatlah dan takutlah akan siksa ALLAH SWT yang amat perit yang menanti di akhirat kelak. Janji ALLAH SWT untuk menghukum dan menyiksa mereka yang mengumpat dan memfitnah adalah benar dan tidak boleh sama sekali kita anggap remeh," titah baginda melalui satu kenyataan yang dikongsi melalui Facebook Selangor Royal Office pada Jumaat.

Dalam masa sama, baginda bertitah, semua pihak perlu memahami dan menghayati intipati Khutbah Jumaat bertajuk 'Dosa mengumpat dan mencaci' yang dibacakan khatib di masjid seluruh negeri ini.

Titah Sultan Sharafuddin, segala perbuatan dan tingkah laku seumpama itu bukan hanya menjatuhkan maruah diri malah mengundang sengketa dan permusuhan berpanjangan hingga menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

Sultan Sharafuddin menzahirkan kebimbangan jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor menjadi semakin parah dan tidak terkawal.

"Mencaci menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut dan malu kepada ALLAH setiap kali menjelang pilihan raya.

"Ia seolah-olah musim menjelang pilihan raya adalah pesta menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi rakyat," katanya.

Baginda juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 Jun lalu bahawa isu berkaitan kaum, agama dan Institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen.

Baginda menegaskan, perkara itu perlu supaya perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam tidak berlaku dan hubungan antara kaum di negara ini tidak terjejas.

Titah baginda, Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan sentiasa berbaik sesama umat Islam dan bertoleransi dengan orang bukan Islam mengikut lunas, batas dan akhlak Islam.

"Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ia akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, raja dan sultan pula berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri dan mesti dihormati serta ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi patuh kepada perintah ALLAH serta tidak menyuruh melakukan maksiat.

"Sultan adalah payung yang melindungi rakyat jelata di bawah naungannya. Ini berdasarkan hadis nabi dan undang-undang negara kita juga memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang melakukan fitnah, penghinaan kepada Institusi raja serta mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini seperti Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia," titah baginda.