63,000 pelajar di Selangor terima manfaat tuisyen percuma - Amirudin

Amirudin dalam ciapan dan berkongsi video mengenai PTRS pada Jumaat.
Amirudin dalam ciapan dan berkongsi video mengenai PTRS pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 63,000 pelajar di negeri Selangor menerima manfaat menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) setakat ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PTRS diberikan secara percuma kepada pelajar di negeri ini.

"PTRS ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri (Selangor)," katanya dalam ciapan dan turut berkongsi video seorang pemilik akaun Twitter pada Jumaat.

Rakaman video itu memaklumkan, kerajaan Selangor telah melaksanakan pemberian buku ulang kaji secara percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak lima tahun lalu.

Menurut video itu, pada tahun lalu sahaja, seramai 40,000 calon SPM menerima manfaat dan ia ditingkatkan lagi pada tahun ini.

"Naskhah contoh diberikan ini meliputi bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, matematik tambahan, sains dan sejarah kepada calon SPM sekolah harian, aliran agama dan sekolah berasrama penuh," jelasnya.

Selain itu, video itu memberitahu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kerajaan Selangor untuk mengadakan tuisyen tambahan dan makan tengah hari kepada pelajar sederhana dan lemah.

Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM7 juta menjayakan program itu dengan memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my serta mengukuhkan kemahiran guru.

PTRS mula dilaksanakan pada tahun 2009 menggunakan pusat komuniti sebagai premis tuisyen sebelum diperluas ke sekolah dan secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.