Jakim diarah bekerjasama dengan PDRM, SKMM banteras ajaran SiHulk

 Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras ajaran sesat yang dibawa oleh Suhaini Mohammad (Sohai Ibnu Muhammad) atau SiHulk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat berkenaan juga diminta segera tampil membuat laporan kepada pihak PDRM, SKMM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa JAIN. Pihak Jakim telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan.

“Sehubungan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati supaya umat Islam tidak terlibat dan menjauhi daripada penyebaran ajaran sesat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ajaran sesat SiHulk kembali menjadi perdebatan hangat setelah beberapa video mengenainya tular di media sosial, antaranya ada individu yang menyatakan mereka menyokong fahaman yang dibawa.

Salah satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuat naik melalui Facebook Nurul Sakinah yang bertajuk `Nabi Muhammad itu adalah Allah’, bagaimanapun setakat Khamis, ia tidak lagi dapat diakses.

Antara Facebook yang turut dikesan memuat naik kedua-dua video tersebut adalah Facebook yang menggunakan nama Iffat Muhammad.

Tambah Mohd Na’im, mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

“Pihak Jakim telah diarah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dan agensi berkaitan bagi mengadakan siri penerangan di seluruh negara berkaitan bahaya amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan akidah kepada masyarakat.

“Kerjasama semua pihak dalam isu-isu seperti ini dapat membantu menanganinya dengan lebih berkesan.

“Ia seterusnya dapat menjaga akidah umat Islam daripada terpesong terutamanya kesan daripada tularnya fahaman yang menyeleweng melalui media sosial,” jelasnya.