Jual jam tangan tiruan berharga RM4,000

Ariffin (tiga dari kanan) menunjukkan antara barang disyaki tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Ariffin (tiga dari kanan) menunjukkan antara barang disyaki tiruan yang dirampas dalam serbuan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barang tiruan yang diniagakan di Jalan Petaling, di sini dikesan dijual pada harga mencecah RM4,000 seunit.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, ia terbongkar susulan serbuan Op Putra 3.0 di Jalan Petaling yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil cap dagang pada Selasa lalu.

Menurutnya, serbuan membabitkan sembilan premis iaitu gerai, kedai dan stor yang dijadikan tempat menyimpan pelbagai barang disyaki tiruan terdiri daripada jam tangan, beg tangan, dompet, gelang dan cincin.

"Kesemua 2,505 unit barangan ini telah dirampas membabitkan nilai kira-kira RM250,000.

"Barangan ini berkualiti tinggi dan harga jualan bermula RM400 hingga RM4,000 seunit. Berdasarkan maklumat yang diperoleh seutas jam tangan tiruan berjenama ini boleh dijual dengan harga RM750 hingga RM4,000," katanya dalam sidang akhbar di stor Segambut KPDN KL di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati barangan tiruan ini diperoleh dari luar negara dengan menyasarkan pelancong warga asing yang datang ke Jalan Petaling.

Katanya, KPDN Kuala Lumpur turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan disyaki pemilik premis untuk membantu siasatan.

"Tindakan akan diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 selain Akta Cap Dagangan 2019," ujarnya.

Tambah Ariffin, KPDN mengalukan kerjasama daripada wakil cap dagang yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barang tiruan di pasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya melalui pasukan khas turut memantau penjualan barangan jenama tiruan di platform media sosial termasuk TikTok dan akan mengesan peniaga yang terbabit untuk tindakan lanjut.

"Kita memberi amaran kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang kerana jika ingkar, mereka boleh dikenakan hukuman yang berat," katanya.