'Terima Kasih Malaysia' - Syafiq terharu Polis Evo 3 raih kutipan RM54 juta

Polis Evo
Polis Evo
A
A
A

FILEM Polis Evo 3 terus mencatat kejayaan cemerlang apabila berjaya meraih kutipan RM54 juta selepas hampir dua bulan ditayangkan sejak 24 Mei lalu.

Naskhah arahan Syafiq Yusof itu mendapat perhatian ramai sejak awal ditayangkan dan menjadi filem aksi komedi nombor satu paling laris di Malaysia sepanjang masa, selain masih menduduki tangga teratas filem paling laris 2023.

Terharu dengan pencapaian tersebut, Syafiq, 31, menyifatkan sokongan yang diberikan peminat filem tanah air sebagai pemangkin semangat buatnya untuk menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, syukur Ya Allah, Polis Evo 3 sudah hampir sampai ke penghujung tayangan di pawagam. Terima Kasih kepada semua yang menonton dan memberi sokongan pada filem ini.

“Filem Polis Evo 3 adalah satu memori indah buat saya dan team produksi serta para pelakon. Satu pembakar semangat untuk berusaha bersungguh-sungguh dengan sepenuh jiwa raga untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik di masa akan datang. Terima Kasih Malaysia,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Instagramnya pada Khamis.

Filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures itu menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim dan ramai lagi.