Diana Danielle fail nusyuz isu tanggungjawab Farid selaku suami

Diana Danielle ditemani peguamnya, hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Khamis bagi memfailkan permohonan tuntutan nusyuz terhadap suaminya, Farid Kamil.
Diana Danielle ditemani peguamnya, hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Khamis bagi memfailkan permohonan tuntutan nusyuz terhadap suaminya, Farid Kamil.
A
A
A

SUBANG BESTARI - Pelakon, Diana Danielle memfailkan permohonan tuntutan nusyuz terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini pada Khamis.

Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, antara alasan tuntutan berkenaan dikemukakan ialah menyentuh isu tanggungjawab Farid selaku suami.

"Pihak kita memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Farid hari ini, namun terma-terma permohonan itu secara terperinci tidak boleh didedahkan,” kata peguam itu ketika ditemui selepas sebutan kes di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof.

Dalam pada itu, Azmi berkata, susulan permohonan tuntutan nusyuz oleh Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, pada 6 April lalu, pihaknya telah memfailkan tuntutan balas pada prosiding yang sama.

Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid berkata, anak guam selaku plaintif tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dijangkiti Covid-19.

"Status kesihatannya telah didaftarkan dalam MySejahtera namun ketidakhadirannya tidak akan mengganggu prosiding hari ini," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Ogos depan untuk sebutan semula kes nusyuz yang difailkan Farid dengan dua pihak perlu memfailkan tuntutan balas termasuk jawapan kepada pembelaan masing-masing.

Tiga bulan lalu, Farid menegaskan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya bukan berniat untuk memburukkan situasi tegang yang melanda rumah tangga mereka.

Sebaliknya Farid berkata, tuntutan tersebut dilakukan bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.

Sementara itu, semasa ditemui selepas prosiding selesai, Diana berkata, tuntutan nusyuz terhadap suaminya merupakan proses biasa bagi mana-mana pasangan yang sedang berdepan kemelut rumah tangga.

“Saya terima kerana bagi saya sesiapa boleh memfailkan apa yang mereka mahu tetapi kena diikuti dengan bukti dan fakta, jadi kita akan tunggu dan lihat,” katanya.

Pelakon filem Imaginur ini juga mengakui tidak mudah untuknya melalui fasa kemelut rumah tangga tetapi dia akan terus mempertahankan haknya selagi kes ini belum berakhir.

"Saya harap dapat keputusan terbaik dan berakhir dengan sesuatu yang aman.

"Saya tak mahu komen apa-apa tentang pihak sebelah sana, semoga sihat-sihat sahaja," kata pelakon itu selepas ditanya mengenai tahap kesihatan Farid selepas dilaporkan menghidap Covid-19.

Pada 10 Mac lalu, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil.

Pelakon filem itu membuat permohonan cerai atas alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut dan pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung.

Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.