Netizen gesa ambil tindakan suami isteri sokong ajaran 'Si Hulk'

Pengguna Twitter @Edie57929225 memuat naik video pengakuan dua individu terbabit.
Pengguna Twitter @Edie57929225 memuat naik video pengakuan dua individu terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa agama digesa mengambil tindakan terhadap dua individu dipercayai pasangan suami isteri yang membuat pengakuan menyokong ajaran 'Si Hulk' menerusi video yang tular di media sosial.

Video berdurisi 39 saat itu dikongsikan oleh pengguna Twitter @Edie57929225 yang meminta agar akidah dua individu tersebut diselamatkan.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada ia melibatkan rakaman terbaharu atau lama.

"Astaghfirullah.. tolong selamatkan akidah mereka ni. Tolong tolong... makin berani pulak declare (mengaku) gitu.. Allahu..," tulisnya.

Dalam video berkenaan, dua individu mengaku sebagai pasangan suami isteri mengucapkan pengakuan berhubung ajaran 'Si Hulk' secara bergilir-gilir.

Setelah memperkenalkan diri sebagai 'Arif' dan 'Mizatun', mereka mengaku menyokong ajaran Si Hulk iaitu Nabi Muhammad SAW ialah ALLAH.

Pada awal video juga 'Arif' mengucapkan 'Salam 1Malaysia, salam Pantai Dalam'.

"ALLAH ialah nama kebesaran yang paling agung dan Nabi Muhammad itu adalah pemiliknya.

"Bila Nabi Muhammad ialah Tuhan, sudah tentu ia tiada anak, tidak beranak dan tidak diperanakkan serta tiada kemaluan. Fikirkanlah sampai bila nak kena tipu terima kasih," ucap mereka.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna Twitter antaranya @Skywalker8585 yang mahu siasatan segera dibuat.

"Mohon pihak berkuasa siasat puncanya. Jangan hukum mereka dahulu," tulisnya.

Pengguna bernama @Brothermuin pula tidak menolak kemungkinan ia adalah video lama.

"Salam 1 Malaysia, Salam Pantai Dalam...lama dah kot video ni. Maybe (mungkin) dah insaf,"katanya.

Hantaran video sama dikenal pasti dimuat naik di Tiktok daddysambar_dl77.

"Mohon beri nasihat dan teguran agar Ianya kembali ke pangkal jalan...orang macam ni jangan diserang menggunakan fizikal," tulisnya.

Dalam pada itu, Sinar Harian mendapati terdapat 'group page' Ajaran Si Hulk di Facebook yang disertai lebih 500 pengguna Facebook.

Hantaran terbaharu oleh pengendali page menggunakan nama Suhaini Mohammad dibuat pada Rabu yang turut mengundang pelbagai reaksi dan kecaman pengguna Facebook lain.

Antaranya turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat sekatan.

Sinar Harian telah menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan komen lanjut, namun belum ada sebarang perkembangan diperoleh.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menerusi satu kenyataan memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Suhaini yang turut dipanggil Suhai Ibni Mohammad, Si Hulk atau apa jua gelaran dikaitkan dengannya, didapati membawa pelbagai fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan Islam, antaranya mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

ARTIKEL BERKAITAN: JAINJ, PDRM buru pengikut ajaran sesat Si Hulk

Enam individu hina Islam, Rasulullah SAW dikenal pasti

Ahli kumpulan ajaran Suhaini Mohammad ditahan di Jasin

Remaja antara saki-baki kumpulan ajaran sesat 'Si Hulk'

Pengikut ajaran Si Hulk bersembunyi di luar negara