Hadkan tempoh khidmat di agensi penguatkuasaan

Zainal Adnan
Zainal Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Tempoh perkhidmatan seseorang individu yang terlalu lama di posisi mana-mana jabatan dalam agensi penguat kuasa boleh memberi ruang untuk terlibat dengan rasuah.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, bagi mengelakkan jenayah itu berlaku, tempoh had penempatan seseorang anggota penguat kuasa perlu dihadkan.

Selain itu, beliau menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana anggota penguat kuasa yang didapati melakukan rasuah.

“Kerajaan perlu kenakan hukuman berat terhadap individu yang terlibat kerana dibimbangi mereka akan terus melakukan kesalahan yang sama jika menerima hukuman ringan.

“Jika dikenakan kadar denda yang rendah, sudah pasti mereka tidak akan rasa terbeban memandangkan jumlah keuntungan yang diperoleh hasil daripada jenayah rasuah yang dilakukan lebih tinggi,” katanya kepada Rasuah Busters.

Menurut Zainal Adnan, bagi membendung rasuah, beberapa mekanisme boleh digunakan untuk menggalakkan orang ramai atau pekerja untuk memberikan maklumat mengenai jenayah itu.

Jelas beliau, pemberian insentif misalnya, akan menyebabkan mereka berasa lebih dihargai setelah berkongsi maklumat.

“Bagi agensi penguat kuasa, penghargaan boleh diberikan menerusi peningkatan dalam penilaian prestasi pekerja ataupun kenaikan gaji,” katanya.