Terima saja hakikat harga barangan sudah meningkat

Harga barangan termasuk sayuran didapati mengalami peningkatan harga ketika ini. - Gambar hiasan
Harga barangan termasuk sayuran didapati mengalami peningkatan harga ketika ini. - Gambar hiasan
A
A
A

DUA hari lepas, Merak Jalanan pergi ke sebuah pasar raya terkenal. Pasar raya ini terkenal dalam kalangan golongan marhaen kerana biasanya harganya lebih murah berbanding pasar raya lain.

Cadangan asal nak membeli kacang buncis, tomato, sawi dan pak choy bagi bekalan selama seminggu.

Sayur pertama yang Merak Jalanan jumpa adalah kacang buncis siap dibungkus dan dilekatkan tanda harga termasuk jumlah timbangannya.

Terkejut Merak Jalanan. Hampir terbeliak biji mata apabila melihat harga sebungkus kacang buncis kurang 350 gram berharga RM7. Terdiam sekejap. Nak beli atau tak ni? Dah macam harga kayangan ni.

Merak Jalanan pun berfikir secara positif, mungkin ada yang lebih murah. Akhirnya, terjumpalah sebungkus kacang buncis seberat 305g dengan harga RM5.14. Okey la sikit.

Itu baru bahagian kacang buncis. Di bahagian sayur-sayuran lain, kebanyakannya juga sudah naik harga.

Dalam kepala ini membuat perkiraan stok makanan mentah di rumah masih bertahan atau tidak untuk seminggu. Ini baru di pasar raya marhaen. Kalau tempat lain, tak tahulah pulak harganya. Mungkin lagi mahal.

Fikir punya fikir, Merak Jalanan terus ke kaunter bayaran. Akhirnya beli kacang buncis saja. Terus tak jadi nak beli barang lain dek kerana kacang buncis RM7 itu.

Merak Jalanan teringat satu infografik yang menganggarkan belanja dapur untuk keluarga seramai empat orang hanya RM397.80 sebulan. Merak Jalanan nak ajak orang buat infografik tu buat kajian sebenar situasi semasa yang dihadapi rakyat.

Sebelum ini sebuah akhbar melaporkan ‘Dulu belanja dapur RM200 kini jadi RM500 sebulan'. Kalau harga kacang buncis saja sudah RM7 sebungkus, bagaimana pula harga barangan lain. Ini realiti yang rakyat hadapi.

Terima sahaja hakikat kos harga barangan sudah meningkat dan tidak perlu berselindung lagi.