Hasif Upin buktikan layak duet bersama Ziana

Single Waktu kini semakin mendapat perhatian ramai.
Single Waktu kini semakin mendapat perhatian ramai.
A
A
A

BIARPUN masih baharu dalam industri seni suara tanah air, penyanyi Hasif Upin bertuah apabila mendapat peluang untuk bergandingan dengan Ziana Zain menerusi single duet berjudul Waktu.

Tidak pernah mengimpikan peluang seperti itu, Hasif atau nama sebenarnya, Muhammad Hasif Sharuddin, 30, berkata, ia merupakan satu kejutan besar buatnya apabila penyanyi bervokal tinggi itu menyatakan kesudiannya untuk tampil berduet dengan orang baharu sepertinya.

Mengetepikan segala gemuruh di dada, bintang bernaung di bawah label Armani Entertainment Group itu mempersiapkan diri sebaik mungkin agar kepercayaan diberikan Ziana dan syarikat rakamannya tidak sia-sia.

“Sejujurnya, Ziana merupakan idola saya sejak dahulu lagi dan hampir kesemua lagunya saya hafal. Apabila diberi peluang keemasan ini oleh pihak syarikat rakaman, pasti saya hargai sangat-sangat.

“Malah sebelum masuk studio rakaman, saya terlebih dahulu membuat pelbagai persiapan termasuk mengikuti kelas vokal untuk memastikan segalanya berjalan lancar. Sepanjang proses rakaman yang berlangsung selama dua jam itu, banyak perkara saya pelajari daripada Ziana yang sangat merendah diri dan sentiasa memberi semangat.

“Peluang berduet dengan seorang lagenda seni suara merupakan pengamalan berharga yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila,” ujarnya yang ditemui pada sidang media single tersebut baru-baru ini.

Ziana merupakan idola Hasif Upin sejak dahulu lagi dan hampir kesemua lagunya dihafal
Ziana merupakan idola Hasif Upin sejak dahulu lagi dan hampir kesemua lagunya dihafal

Single Waktu terbitan Armani Entertainment Group yang merupakan karya ciptaan Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat itu kini boleh didengar di kesemua platform muzik digital.

Dalam pada itu, Hasif yang sebelum ini pernah tampil dengan lagu single Janji Sampai Mati dan Dilema itu mengakui gementar menunggu reaksi peminat kerana sedar tentang jangkaan tinggi yang diletakkan ke atas lagu tersebut, apatah lagi Ziana sendiri sudah lebih 15 tahun tidak tampil dengan lagu baharu.

Tidak kurang yang meremehkan dirinya dan menganggap tidak layak bergandingan dengan penyanyi hebat seperti Ziana.

“Pada mulanya saya agak terkesan juga dengan komen-komen negatif yang mempersoalkan gandingan saya dengan Ziana. Ada yang kata saya tak layak dan tak sesuai berbanding penyanyi lain yang sudah lama dalam industri.

“Memang terasa bila orang kata macam-macam, tetapi saya cuba berfikir secara positif dan jadikan ia sebagai cabaran untuk menguatkan semangat saya terus maju ke depan. Apa yang penting Ziana menerima saya dengan baik dan mungkin ini adalah rezeki saya,” katanya yang juga dikenali sebagai selebriti media sosial.