Mesej saya jika perlu bekalan air: MB Selangor

Amirudin meminta penduduk menghubunginya dengan meninggalkan mesej akaun Facebook dan Twitter miliknya bagi memaklumkan kawasan kritikal yang memerlukan bantuan bekalan air.
Amirudin meminta penduduk menghubunginya dengan meninggalkan mesej akaun Facebook dan Twitter miliknya bagi memaklumkan kawasan kritikal yang memerlukan bantuan bekalan air.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta penduduk menghubunginya dengan meninggalkan mesej ke akaun Twitter dan Facebook miliknya bagi memaklumkan lokasi kritikal yang memerlukan bekalan air.

Beliau berkata, maklumat diperoleh akan disalur kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) supaya bantuan bekalan dapat dihantar ke lokasi terjejas.

Gangguan bekalan air berlaku berikutan kejadian paip utama pecah berdekatan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting – Taiping Sabtu lalu.

“Boleh DM (mesej secara terus) saya alamat jika kawasan anda kritikal dan memerlukan bekalan air dan saya akan cuba sampaikan kepada pihak Air Selangor untuk bantuan selanjutnya.

“Saya telah minta pihak Air Selangor menghantar lori tanker ke kawasan paling kritikal buat masa ini,” katanya menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kerja-kerja pembaikan paip utama yang pecah kini hanya sekitar 70 peratus.

Katanya, kelewatan berlaku akibat pergerakan tanah yang tidak dijangka.

“Saya dimaklumkan bahawa bekalan air masih belum pulih di sebahagian tempat terutama di Klang. Ini berikutan kejadian paip pecah berdekatan Projek Lebuhraya WCE.

Artikel Berkaitan:

“Pihak Air Selangor sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerja pembaikan dan lori tangki telah digerakkan ke kawasan-kawasan kritikal. Gangguan ini tidak dijangka kerana kebocoran berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Sinar Harian difahamkan sehingga jam 11 pagi tadi, masih ramai pengguna yang masih terputus bekalan air

Air Selangor dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan kerja-kerja pembaikan paip utama terpaksa dilanjutkan ekoran berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan kelewatan proses baik pulih.

Pihaknya memerlukan masa bagi menyiapkan kerja-kerja pembaikan sebelum sistem bekalan dapat diaktifkan semula.

Katanya, penyaluran semula bekalan akan dilakukan sejurus kerja-kerja pembaikan siap.

“Pemulihan di kawasan terjejas adalah secara berperingkat dan tempoh pemulihan bagi setiap kawasan adalah berbeza.

“Bagi kawasan yang menerima bekalan secara terus (direct supply) akan menerima bekalan lebih awal berbanding yang berada di lokasi tinggi dan penghujung sistem agihan,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat dan status terkini, pengguna boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor.

Pelanggan juga boleh menghubungitalian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 untuk bantuan.