Rumah musnah terbakar, busker OKU rayu bantuan alat muzik

Rasyidi menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran.
Rasyidi menunjukkan keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran.
A
A
A

TEMERLOH - Peralatan muzik yang musnah akibat kebakaran pada Aidilfitri lalu menyebabkan sumber pendapatan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di sini terjejas.

Rasyidi Romdan, 28, dari Kampung Penak dekat Mentakab kini terpaksa menyewa peralatan muzik rakannya untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

Ketiadaan rumah selepas tragedi itu menambahkan lagi kesukaran buat bapa kepada dua cahaya mata berusia lima dan dua tahun tersebut yang mengalami kecacatan kaki akibat kemalangan jalan raya pada 2011 sekali gus bergelar OKU.

"Kebakaran yang berlaku pada Hari Raya ke-4 menyebabkan rumah, barangan termasuk segala peralatan muzik seperti gitar, drum, pembesar suara, bass power mixer dan komputer riba turut musnah.

"Untuk peralatan tersebut, kerugian dianggarkan lebih RM12,000 yang dikumpul hasil aktiviti busking selama ini," kata Rasyidi yang menjadi penghibur jalanan sepenuh masa sejak bergelar OKU.

Kebakaran pada Aidilfitri lalu menyebabkan rumah, barangan termasuk peralatan muzik milik Rasyidi musnah.
Kebakaran pada Aidilfitri lalu menyebabkan rumah, barangan termasuk peralatan muzik milik Rasyidi musnah.

Ujar dia, dalam kejadian tersebut, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa jua barang.

Tambah Rasyidi, dengan pendapatan tidak menentu sejak kebelakangan ini terutamanya selepas Aidilfitri, dia juga kurang berkemampuan untuk menyewa rumah.

"Selepas kejadian, kami anak beranak menumpang sementara di rumah keluarga sebelum menyewa di tempat lain.

"Tapi saya tak mampu lagi, kereta semakin 'uzur' dan kerap rosak. Selain itu, perlu jelaskan hutang peralatan muzik membuatkan saya balik semula ke rumah keluarga di Kampung Penak," ujarnya.

Justeru, Rasyidi berharap untuk dapat kembali membina rumah selain berhasrat untuk melengkapkan keperluan untuk aktiviti busking bagi meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

"Saya nak berdikari, tak nak susahkan keluarga dan gunakan bakat yang ada untuk mencari rezeki halal sebab dengan keadaan diri, ini saja saya boleh lakukan untuk teruskan kehidupan," tambahnya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0640041000098222 atas nama Rasyidi Romdan.