Polis Sarawak giat kesan sindiket along upah bakar rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak kini giat mengesan rangkaian sindiket along yang mengupah individu untuk membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka melalui tawaran kerja di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ini susulan laporan diterima pihaknya pada 7 Julai lalu, di mana seorang mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan dibakar selain menerima kiriman video insiden tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

"Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa.

Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata, susulan itu, tujuh suspek warga tempatan berjaya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu.

"Hasil soal siasat mendapati mereka telah menerima tawaran melakukan kerja itu di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500," katanya.

Mohd Azman berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mustapha Ramli di talian 019-8145090. - Bernama