Jelajah Kembara Merdeka guna bot nelayan

Sabri (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Aidatul Shima (dua kanan) di Pasar Bisik Kuala Muda, Kedah.
Sabri (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Aidatul Shima (dua kanan) di Pasar Bisik Kuala Muda, Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Keunikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 kali ini ialah menggunakan laluan air bagi menyerahkan Jalur Gemilang yang dibawa dari Pulau Pinang ke sempadan negeri Kedah.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Aidatul Shima Che Hassan berkata, lebih 15 bot nelayan yang berkumpul dari jeti nelayan Pulau Mutiara itu berarak ke Pasar Bisik Kuala Muda, Kedah yang turut disertai kenderaan lain menggunakan laluan darat.

Menurutnya, konvoi yang diketuai Pengarah Penerangan Negeri Pulau Pinang, Sabri Said itu tiba kira-kira jam 5.30 petang telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada kumpulan konvoi dari Kedah yang turut disertai wakil Pejabat Ahli Parlimen Sungai Petani, Bau Wong.

"Secara simboliknya serahan Jalur Gemilang menerusi KMJG 2023 Peringkat Negeri Kedah ini berlangsung di Pasar Bisik Kota Kuala Muda yang terletak bersebelahan sungai Kuala Muda merupakan sempadan antara dua negeri," katanya selepas penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan pada Selasa.

Jelasnya, selepas daerah Kuala Muda, konvoi akan ke tujuh daerah lain termasuk Pendang, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan berakhir di Baling pada Jumaat ini.

Antara bot nelayan yang turut menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023.
Antara bot nelayan yang turut menyertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023.

"Sebanyak 200 hingga 500 Jalur Gemilang diedarkan di setiap lokasi dan kita berharap program ini akan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negeri ini," katanya.

Aidatul Shima berkata, konvoi akan diteruskan ke Pengkalan Hulu sebelum menjelajah ke negeri lain.

Difahamkan, seramai 70 peserta konvoi membabitkan kira-kira 38 buah kenderaan pelbagai jenis dari Kedah menyertai jelajah kali ini.

Konvoi turut disertai kenderaan daripada Jabatan Penerangan Kedah, Jabatan Penyiaran Kedah, Pertubuhan Berita Nasional, Telekom Malaysia, Pos Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kelab Permotoran K16 yang diiringi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).