Kertas siasatan Guan Eng, Hadi sudah diserah kepada Peguam Negara - KPN

Abdul Hadi, Guan Eng
Abdul Hadi, Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kertas siasatan berhubung isu 3R (institusi raja, agama dan kaum) terhadap Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun, masih terdapat siasatan yang perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun ia sudah mencapai kadar 70 peratus lengkap.

"Ada lagi siasatan yang kita perlu selesaikan daripada segi pengekalan data dan juga forensik, ini yang kita perlu uruskan lagi. Jadi, itu adalah siasatan yang akan kita teruskan, insya-ALLAH," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Selasa.

Pada Ahad lepas, PDRM mengesahkan siasatan berhubung isu 3R terhadap kedua-dua pemimpin akan diserah kepada pihak AGC selepas kesemua keterangan diambil.

Razarudin juga berkata, proses merekod keterangan dilaksana oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Bukit Aman).

Siasatan terhadap Abdul Hadi dilakukan susulan kenyataan beliau di laman Facebook pada 8 Julai lepas yang mendakwa DAP ingin mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran liberalisme.

Guan Eng pula disiasat susulan kenyataan beliau yang mendakwa 'gelombang hijau' akan menjejaskan hak agama di Pulau Pinang. - Bernama.