Wanita rugi RM142,080 mangsa jerat percintaan 'scammer'

Seorang wanita yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di negeri ini 'berputih mata' apabila kerugian RM142,080 selepas menjadi mangsa jerat percintaan sindiket 'scammer'.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Seorang wanita yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di negeri ini 'berputih mata' apabila kerugian RM142,080 selepas menjadi mangsa jerat percintaan sindiket 'scammer'.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita yang bekerja di sebuah institusi pendidikan di negeri ini 'berputih mata' apabila kerugian RM142,080 selepas menjadi mangsa jerat percintaan sindiket 'scammer'.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa berusia 40-an berkenalan dengan suspek tersebut yang menyasarkan wanita bujang dan berkerjaya pada penghujung Mac lalu.

"Suspek berkenaan menghubungi mangsa melalui aplikasi Messenger terlebih dahulu sebelum hubungan antara mereka menjadi semakin erat menerusi aplikasi WhatsApp.

"Tidak lama selepas bermain cinta, suspek memaklumkan akan datang ke Malaysia bagi membuat urusan tuntutan pampasan kematian bapanya dengan sebuah syarikat di Sarawak.

"Suspek meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk membiayai kos penginapan dan juga bayaran kepada Bank Dunia bagi urusan pengeluaran wang sebanyak AS$5.5 juta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa turut dijanjikan akan menerima sejumlah wang yang lumayan sekiranya dapat memberikan bantuan.

Tertarik dengan tawaran tersebut katanya, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi kewangan antara 11 April hingga 12 Jun tahun ini berjumlah RM142,080.

Menurut Kamarul Zaman, mangsa kemudian menyedari ditipu selepas seorang mangsa lain menghubungi wanita berkenaan memberitahu dia juga telah ditipu dengan menggunakan modus operandi sama sebelum ini.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Isnin. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda," katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari hingga 15 Julai lalu, polis Johor merekodkan sebanyak 64 kes penipuan melibatkan mangsa yang merupakan warga pendidik dengan kerugian berjumlah RM2.58 juta.

"Sekiranya menjadi mangsa, boleh hubungi talian National Scam Response Centre di talian 997 untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek," ujar beliau.