Karnival pendidikan platform sambung pengajian

Beri peluang kepada pelajar dapat maklumat mengenai institusi pengajian

A
A
A

Seramai 14 orang pelajar meraih keputusan cemerlang bagi SPM 2022 hasil daripada Program Akademik Yayasan PETRONAS empower ECER.
Seramai 14 orang pelajar meraih keputusan cemerlang bagi SPM 2022 hasil daripada Program Akademik Yayasan PETRONAS empower ECER.

MERSING - Karnival Pendidikan Jom Sambung Belajar berlangsung dengan jayanya dengan penglibatan sebanyak 13 pempamer Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta dan Kemahiran di Politeknik Mersing, Johor, Khamis lalu.

Karnival Pendidikan Jom Sambung Belajar ini merupakan kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Yayasan PETRONAS bersama pelaksana UMP Advanced dalam usaha memberikan pendedahan kepada pelajar mendapatkan maklumat dan membuat pilihan institusi pengajian bagi menyambung pengajian.

Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Norman Noh berkata, seramai 200 orang pelajar dari Daerah Mersing telah terpilih untuk mengikuti Program Akademik Yayasan PETRONAS empower ECER bagi sesi 2022/2023.

“Pelajar yang terpilih ini pastinya adalah amat bertuah kerana telah dilatih dan dibimbing oleh pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui UMP Advanced kerana mereka telah membuktikan kejayaan dengan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2022,” jelasnya.

Norman (duduk, tengah) bergambar bersama pelajar SPM sekitar di Mersing dan pempamer.
Norman (duduk, tengah) bergambar bersama pelajar SPM sekitar di Mersing dan pempamer.

Hasil daripada Program Akademik Yayasan PETRONAS empower ECER ini juga telah berjaya membuktikan seramai 14 orang pelajar meraih keputusan cemerlang bagi SPM 2022.

Dalam pada itu, Pengurus Besar, Pejabat ECERDC negeri Johor, Muzarir Karnain Mahmood Kamsani, berkata, bagi pencapaian SPM yang lepas, seramai 98.5 peratus pelajar telah lulus dalam peperiksaan SPM dan 95.5 peratus pelajar meningkat dalam Gred Purata Murid (GPM).

“Saya berharap agar para pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Program pada hari ini adalah salah satu platform kepada para pelajar dalam membuat keputusan bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Melalui Karnival Pendidikan Jom Sambung Belajar ini, ia dapat membantu pelajar mendapatkan maklumat mengenai program yang ditawarkan oleh institusi yang terlibat dan taklimat bantuan kewangan semasa melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi.