Judika terharu disayangi ramai

Hantaran yang dibuat menerusi Instagram Judika seminggu lalu mengundang spekulasi.
Hantaran yang dibuat menerusi Instagram Judika seminggu lalu mengundang spekulasi.
A
A
A

PENYANYI popular Indonesia, Judika menegaskan dia tidak berniat untuk menimbulkan kebimbangan kepada peminat berkaitan dirinya.

Jelas penyanyi berusia 44 tahun, tindakannya memadam semua gambar sebelum ini adalah kerana mengikut cadangan team bagi mempromosikan konsert Rockmantic Night Judika & The Gang.

"Memandangkan ini konsert pertama saya, jadi penganjur dan syarikat pengurusan terfikir untuk melakukan sesuatu bagi memberitahu peminat, saya akan adakan sesuatu yang istimewa kerana konsert itu bukan hanya di Kuala Lumpur, tetapi juga di beberapa negara Asia lain.

"Bagaimanapun ramai yang menyangkakan saya mahu ucapkan selamat tinggal pada industri," jelasnya.

Judika menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang akhbar konsert Rockmantic Night Judika & The Gang di Pavillion Bukit Bintang pada Isnin.

Sebelum ini, Judika mengundang spekulasi ramai apabila memadam hantaran gambar-gambar di Instagram dan meninggalkan sekeping gambar hitam putih.

Pada gambar itu tertera tulisan: " Terima kasih telah mendukung saya selama ini.", sekali gus membuatkan ramai menyangkakan Judika mahu berundur dari industri seni.

Tambah Judika, dia menerima banyak mesej dan panggilan telefon yang mahukan penjelasan terhadap tindakannya itu.

"Kebetulan ketika kekecohan berlaku, saya sibuk uruskan perkara lain.

"Kemudian saya lihat banyak direct mesej (mesej peribadi) yang masuk bertanya mengapa saya berbuat demikian, ada yang menangis kerana bimbang, yang membuat video dan mengaitkan masalah vokal saya sebelum ini dengan kehilangan saya.

"Sehingga saya matikan telefon bimbit untuk beberapa jam kerana tidak menyangka menerima respons yang demikian," ujarnya.

Kebimbangan peminat itu membuatkan Judika terkejut dan terharu kerana baharu menyedari bahawa ramai menghargai serta menyayangi dirinya.

"Ada yang tidak mempercayai saya lakukan perkara itu kerana tahu saya tidak pandai membuat sensasi.

"Jadi saya sudah maklumkan pada team supaya jangan buat lagi perkara seperti ini. Kalau saya betul-betul mahu meninggalkan industri (karier nyanyian) saya sendiri akan beritahu," katanya.

Sementara itu, Judika bersama Shila Amzah, Marsha Milan Londoh dan Haqeem Rusli akan bergabung di satu pentas menerusi konsert Rockmantic Night Judika & The Gang pada 21 Oktober depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert itu dibawakan oleh Kharisma Music bersama Alha Alfa dan DAD Management.