Malaysia kutuk serangan rejim Zionis ke atas Palestin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan bertubi-tubi dari udara dan darat di Gaza sejak Jumaat lepas.

Beliau berkata, tindakan rejim itu dikutuk sekeras-kerasnyanya, terutama ketika umat Islam di Palestin dan seluruh dunia sedang mengadakan persiapan untuk menyambut Ramadan.

“Kerajaan (Malaysia) konsisten memberi sokongan terhadap rakyat Palestin dan mengecam Israel.

“Ini dapat dilihat melalui kenyataan YAB Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York, September tahun lalu yang mengecam rejim itu kerana menceroboh Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia serta masyarakat dunia mengutuk tindakan Israel itu ketika ini.

Sejak Jumaat lalu, 13 penduduk Palestin terkorban termasuk seorang bayi berusia 14 bulan dan ibu saudara bayi itu dalam serangan udara.

Angka korban itu terus meningkat kepada 27 orang semalam.

Perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan Palestin. Semalam, dua lagi mayat ditemui di bawah sisa runtuhan bangunan yang musnah sama sekali akibat dibedil jet Israel di utara Bandar Gaza.

Artikel Berkaitan:

Serangan itu bermula selepas dua warga Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel semasa bantahan berhampiran tembok perimeter Israel-Gaza.