Pemain Jepun berusia 18 tahun jadi buruan kelab Eropah

Foto. - Foto Agensi
Foto. - Foto Agensi
A
A
A

BINTANG meningkat naik Jepun, Keisuke Goto bagaikan 'pisang goreng panas' apabila menjadi buruan lima kelab Eropah menjelang saingan musim panas ini.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Chelsea antara pasukan yang berminat membawa masuk pemain berusia 18 tahun itu.

Bagaimanapun The Blues bakal disaing sengit beberapa kelab Eropah lain yang turut berminat mengikat Goto yang dianggap permata baharu bola sepak negara matahari terbit itu.

Turut berminat satu lagi kelab EPL, West Ham juga bersedia melamar pemain muda yang beraksi untuk kelab Jubilo Iwata dalam saingan Liga J tersebut.

Empat kelab lain iaitu Feyenoord dan Ajax Amsterdam dari Liga Belanda serta satu dari La Liga Sepanyol, Sevilla turut mahu mendapatkan khidmat Goto.

Keterujaan Chelsea untuk mendapatkan khidmat Goto kerana difahamkan pemain itu dikatakan beraksi mirip seperti kapten England, Hary Kane yang bijak 'bawa diri' untuk berada dalam posisi terbaik untuk meledak gol.

Menariknya aksi Jepun pada Piala Dunia di Qatar tahun lalu membuka mata kelab Eropah mengenai bakat dari negara Samurai itu dan pencari bakat The Blues melihat Goto sebagai pemain yang perlu diikat.

Chelsea sebelum ini sudah mengikat pemain sayap Santos, Angelo Gabriel dengan nilai 15 juta pound (RM89 juta) sebelum dipinjamkan ke Perancis bersama Strasbourg.