Peniaga online didakwa miliki dua keping RM100 palsu

Chuan Wang (depan) mengaku tidak bersalah di mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan menggunakan wang palsu awal bulan ini.
Chuan Wang (depan) mengaku tidak bersalah di mahkamah Majistret Kulai atas pertuduhan menggunakan wang palsu awal bulan ini.
A
A
A

KULAI - Seorang peniaga pakaian secara atas talian dihadapkan ke Mahkamah Kulai, di sini pada Selasa, atas tuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu pada awal bulan ini.

Tertuduh, Cheoh Chuan Wang, 24 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu bersama seorang suspek yang masih bebas didapati memiliki dua keping RM100 palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai wang tulen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 4 petang di sebuah stesen minyak di Batu 21, Kulai pada 1 Julai lalu.

Bagi kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong manakala tertuduh diwakili peguam, Omar Kutty Abd Aziz.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi berjumlah RM15,000 dikenakan kerana tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan seorang lagi suspek kes tersebut masih bebas.

Omar Kutty seterusnya menjelaskan bahawa tiada alasan untuk tertuduh untuk melarikan diri selain anak guamnya itu telah memberikan kerjasama yang baik apabila tampil menyerah diri ke balai polis.

Peguam terbabit memohon jaminan yang rendah kepada tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kerana perlu menanggung ibunya yang berusia 60 tahun dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan lelaki itu dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.