Tubuh SEGiM bukti kerajaan prihatin kebajikan penggiat ekonomi gig

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjamin hak serta kebajikan penggiat ekonomi gig.

Ketua Aktivis P-Hailing Malaysia, Zulhelmi Mansor berkata, dengan menubuhkan suruhanjaya berkenaan, ia akan menjadi kompas untuk merungkaikan segala permasalahan dihadapi penggiat industri ketika ini.

Menurutnya, antara isu sering dialami adalah berhubung kadar pendapatan tidak menentu serta penamatan atau penggantungan akaun sebagai pemandu e-hailing mahupun penunggang p-hailing tanpa diberi peluang untuk membela diri.

"Kita lihat apa diperjuangkan selama ini masih tidak lagi jumpa jalan penyelesaian... jadi dekat mana untuk kita (penggiat industri) zahirkan semua ini? Maka atas sebab itu kita nampak keperluan mewujudkan SEGiM,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Semasa Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industri Gig yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kerajaan akan menubuhkan SEGiM secepat mungkin.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut berhasrat untuk menambah peruntukan bagi memperkasa industri gig kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2024 berbanding RM100 juta dalam Belanjawan 2023.

Mengenai pertambahan peruntukan tersebut, Setiausaha Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Kamarulzaman Ahmad berkata hasrat berkenaan adalah perkara yang melegakan kerana ia dapat menjadikan sektor gig lebih terjamin sekali gus memangkin ekonomi negara.

"Setakat ini, Alhamdulillah, kita dapat perlindungan sosial dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tetapi kami penunggang bukan hanya mahu perlindungan atas jalan raya tetapi lebih kepada mahukan kebajikan dijamin secara keseluruhannya,” katanya. - Bernama