Kertas siasatan 3R terhadap Sanusi hampir selesai - KPN

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor, hampir selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pada masa ini kertas siasatan melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum) itu sudah disiapkan lebih 90 peratus.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan oleh pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berdasarkan segala maklumat yang sudah dikumpulkan.

"Ini termasuk keterangan daripada saksi yang berkaitan serta kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Razarudin berkata, setelah kertas siasatan itu selesai, polis akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Kita berusaha sedaya upaya dalam melengkapkan kertas siasatan ini dalam kadar segera untuk ke langkah susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya juga berpuas hati dengan proses siasatan yang sudah dilakukan termasuk kerjasama daripada Muhammad Sanusi yang datang untuk rakaman keterangan pada 14 Julai lalu," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Menerusi video yang tular, Muhammad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Razarudin turut mengesahkan bahawa kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, juga hampir selesai.

"Kertas siasatan mereka juga turut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, untuk tindakan susulan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi

"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid

'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'

Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis

Hina Sultan: Pihak berkuasa perlu buka kertas siasatan terhadap Sanusi

Ahli Dewan Diraja Selangor gesa Sanusi mohon maaf secara terbuka

Isu 3R: Polis terima 31 laporan terhadap Sanusi

'Sanusi perlu sedia berdepan tindakan' - Saifuddin Nasution

Sanusi dakwa ucapan diputar belit, cubaan bunuh karakter

Sanusi utus surat kepada Sultan Selangor, mohon ampun