Ahli UMNO tetapi tidak undi UMNO, itu khianati parti - Mahdzir

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan satu undi daripada ahli UMNO kepada musuh parti sebagai pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama, bukan merupakan suatu ugutan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia sekadar peringatan kepada ahli parti itu supaya tidak menjadi pembelot sehingga memberi kemenangan kepada parti lawan.

Menurutnya, peringatan itu juga dibuat agar ahli UMNO tidak melakukan undi protes terhadap Pakatan Harapan (PH) berikutan PH kini menjadi rakan gabungan BN.

“Sebenarnya itu bukan ugutan, sepatutnya memang seperti itu. Mana-mana ahli yang menganggotai parti itu sudah semestinya mengundi parti itu, bukan kepada pihak lawan.

“Kita jadi ahli UMNO tetapi tidak mengundi UMNO, semua orang tahu tindakan itu mengkhianati parti,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Mahdzir berkata, ia merupakan peringatan biasa daripada seorang pemimpin kepada ahli parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan bulan depan.

“Peringatan ditujukan kepada ahli, sebab ada kalangan pemimpin UMNO yang sudah keluar daripada UMNO, atau telah berhenti menjadi ahli UMNO, atau dipecat daripada parti.

“Kumpulan-kumpulan itu masih ada dalam masyarakat. Kalau mereka ahli parti lain pun, tetapi tak undi parti itu, itu pun satu pengkhianatan,” jelasnya.

Anwar ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, pada Sabtu mengingatkan ahli UMNO dan bekas ahli parti itu supaya tidak sama sekali memberikan undi mereka kepada musuh.

Pengerusi PH itu berkata, tindakan ahli UMNO mahupun bekas ahli UMNO mengundi musuh politik adalah satu pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama.

Mengulas sama ada akan berlaku undi protes ahli UMNO terhadap calon PH, Mahdzir yakin ahli BN mahupun PH sudah memahami konsep Kerajaan Perpaduan dan akan saling menyokong antara satu sama lain.

“Sehingga kini, sejak kerjasama BN-PH terjalin, saya percaya masyarakat sudah faham makna Kerajaan Perpaduan.

"Cuma saya akui ada sedikit sebanyak kerisauan namun kita cuba yang terbaik di tempat masing-masing untuk berikan kefahaman bahawa BN dan PH kini telah tubuhkan Kerajaan Perpaduan dan berada dalam sebuah kerajaan,” ujarnya.