Polis siasat dakwaan aktivis, keluarga pelarian Myanmar diculik

Hussein Omar Khan
Hussein Omar Khan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) orang hilang berhubung kes seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya yang didakwa diculik beberapa lelaki di kediaman mereka di Ampang Jaya, pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis ada menerima laporan berkaitan kes itu.

"Siasatan dibuka bawah KEP Orang Hilang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa berkaitan hak manusia, Human Rights Watch (HRW), mendedahkan Thuzar Maung, suami serta tiga anak mereka diculik kira-kira jam 4.30 pagi.

Kejadian melibatkan Thuzar, 46; suaminya, Saw Than Tin Win, 43; anak perempuan, Poeh Khing Maung, 16 serta dua anak lelakinya, Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17.

Pengarah HRW Asia, Elaine Pearson berkata, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan terdapat keterangan saksi.

Menurutnya, HRW bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang.

Ujarnya, kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka.

Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015 sebelum dia dan keluarganya diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian di Malaysia.