amirudinshari.com papar kad laporan prestasi negeri Selangor

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai khususnya rakyat Selangor berpeluang membaca serta memuat turun laporan pentadbiran kerajaan negeri Selangor sepanjang tempoh lima tahun menerusi pautan http://amirudinshari.com.

Laporan berkenaan dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 13 Julai dan kad laporan pencapaian dan kejayaan kerajaan negeri itu memaparkan maklumat bermula 2018 hingga sehingga kini.

“Lima tahun Selangor makmur dan gemilang. Alhamdulillah, sukacita saya melancarkan Kad Laporan Pencapaian dan Kejayaan Kerajaan Selangor bermula 2018 hingga 2023.

“Rakyat Selangor, media dan semua masyarakat dijemput memuat turun laporan berkenaan pentadbiran negeri sepanjang lima tahun ini,” ciap Menteri Besar di laman Twitternya.

Laporan prestasi itu meliputi beberapa segmen antaranya ekonomi, kebajikan, sumbangan Selangor kepada Malaysia, menangani krisis kesihatan dan bencana serta sumbangan anak syarikat.

Untuk segmen ekonomi, paparan merangkumi sumbangan negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, prestasi hasil dan belanjawan dari 2019 hingga 2023.

Antara lain turut dipaparkan adalah Iltizam Selangor Penyayang, usaha Selangor memerangi pandemik Covid-19, banjir besar pada Disember 2021 dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).