Perak bangkit jinakkan Kuching City di Kuching

Seonung penjaring gol kemenangan Perak ke atas Kuching City di Kuching pada Ahad. - Foto FB Perak FC
Seonung penjaring gol kemenangan Perak ke atas Kuching City di Kuching pada Ahad. - Foto FB Perak FC
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PERAK FC meraih kemenangan ketiga musim ini selepas mengatasi Kuching City FC, 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada Ahad.

Kemenangan itu juga yang pertama buat pengendali Yusri Che Lah yang menggantikan Datuk Lim Teong Kim pada 25 Mei lalu.

Tambah menarik tiga mata ini merupakan kemenangan kedua Perak ke atas lawan sama selepas menang 2-0 di Ipoh pada 12 Mac lalu.

Kali terakhir Perak meraih tiga mata adalah semasa di bawah kendalian Teong Kim ketika itu apabila menang tipis 3-2 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 28 April lalu.

Dalam perlawanan ini, The Cats yang tampil dengan keyakinan tinggi bermula garang.

Bagaimanapun Perak terlebih dulu memimpin perlawanan hasil tandukan kapten The Bos Gaurus, Luciano Guaycochea pada minit ke-13 yang menyudahkan sentuhan Shafizi Iqmal Md Khirudin.

Kuching City kembali memperkemaskan serangan mengasak memburu gol penyamaan.

Hasil ketekunan Kuching City akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32 hasil jaringan Abu Kamara yang menterjemahkan percubaan awal Yuki Tanigawa bagi menewaskan T Shaheeswaran.

Gol itu menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing tenang menuju ke bilik persalinan dengan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Kuching City dan Perak meningkatkan daya serangan masing-masing dalam usaha meraih kemenangan.

Namun tuah ternyata milik Perak apabila pemain import dari Korea Selatan, Seo Seonung yang beraksi 30 minit dalam perlawanan tersebut muncul wira buat pelawat.

Gol berpunca apabila percubaan Seonung dari luar kotak penalti hasil daripada sentuhan Guaycochea kelahiran Santa Rosa, La Pampa, Argentina gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Shaiful Wazizi Mohammad pada minit ke-80.

Tiga mata diraih anak buah Yusri itu membolehkan The Bos Gaurus meraih 13 mata hasil tiga menang, empat seri dan 10 tewas setelah mengharungi 17 perlawanan.

Kuching City kendalian Irfan Bakti Abu Salim pula kekal dengan di kedudukan ke-13 dengan enam mata - satu menang, tiga seri dan 12 tewas - setelah mengharungi 16 perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, PDRM FC dan Terengganu FC terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila aksi kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 0-0.