PRN: 9,600 pegawai, anggota polis dihantar ke enam negeri

Razarudin (kiri) bersama Muhamad Zaki (kanan) semasa Taklimat PRN di IPK Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
Razarudin (kiri) bersama Muhamad Zaki (kanan) semasa Taklimat PRN di IPK Kelantan di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 9,600 pegawai dan anggota polis akan dihantar ke enam negeri bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua anggota terbabit diselaraskan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berdasarkan permohonan yang dibuat bagi negeri yang terbabit PRN.

“Di Terengganu mohon 2,048 anggota, Pulau Pinang (663), Selangor dan Kelantan tidak sampai 2,000 anggota.

"Jumlah keseluruhan bagi enam negeri ini ialah sebanyak 9,600 semuanya," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu, beliau hadir pada Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai kekuatan mencukupi untuk pastikan proses penamaan calon, berkempen dan hari mengundi berjalan lancar di semua enam negeri.

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, keselamatan di Kelantan sepanjang PRN kali ini akan berjalan lancar dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi.

Ujarnya, kawalan sempadan juga tetap berjalan seperti biasa menjelang PRN.

"Jangan risau, tidak akan berlaku sebarang kekacauan sepanjang PRN berlangsung.

“Operasi kita di sempadan berjalan seperti biasa dan sebab itu untuk Kelantan kita tambah keanggotaan berbanding jumlah yang diminta memandangkan Kelantan bersempadan dengan Thailand,” katanya.