Bayi antara 3 mangsa cedera MPV rempuh dinding taska

Keadaan taska yang dirempuh sebuah MPV dipandu warga emas dalam kejadian di Bandar Cukai, di Kemaman pada Ahad. - Foto Facebook Hanafiah Mat
Keadaan taska yang dirempuh sebuah MPV dipandu warga emas dalam kejadian di Bandar Cukai, di Kemaman pada Ahad. - Foto Facebook Hanafiah Mat
A
A
A

KEMAMAN - Seorang bayi berusia setahun antara tiga mangsa yang cedera selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang warga emas merempuh dinding bangunan taska dalam kejadian di bandar Chukai di sini pada Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan bayi berkenaan dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera pada bahagian muka dan badan, sementara guru taska berusia 31 tahun cedera pada bahagian lutut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan itu berlaku apabila seorang lelaki berusia 72 tahun memandu MPV jenis Proton Exora ketika keluar untuk membeli sarapan.

Jelas beliau, sebelum kejadian, pemandu kereta terbabit dikatakan mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk keluar dari rumahnya yang terletak berdekatan taska terbabit.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat (dua dari kiri) ketika meninjau insiden yang berlaku di sebuah taska di Bandar Cukai, Kemaman pada Ahad. - Foto Facebook Hanafiah Mat

"Ketika mengundur kenderaan dari lot parkir rumahnya, kenderaan dipandu hilang kawalan menyebabkan ia mengundur dengan laju dan melanggar dinding premis taska.

"Insiden itu menyebabkan tiga individu di dalam premis itu cedera," katanya.

Hanyan berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman dan mendapat rawatan di zon hijau hospital berkenaan sementara pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.