Lelaki warga asing mati dikelar rakan mabuk

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki warga asing selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, anggota Balai Polis Desa Cemerlang dimaklumkan orang awam pada jam 11.15 malam berkenaan pergaduhan itu yang melibatkan warga asing di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman tersebut.

"Apabila tiba di tempat kejadian pihak polis menemui seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri. Mangsa disahkan telah meninggal dunia.

"Bertindak atas maklumat pada 12.10 tengah malam tadi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Desa Cemerlang membuat dua tangkapan lelaki warga asing.

"Dua suspek berusia 39 dan 40 tahun itu ditahan sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Pihaknya merampas tiga bilah pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras selain menemukan 13 'swab' kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.

Jelasnya, siasatan mendapati semua yang terlibat dalam pergaduhan itu bekerja di kedai dan kejadian berpunca daripada mangsa melakukan provokasi terhadap suspek yang sedang mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan.

"Akibat pergaduhan ini mangsa telah meninggal dunia disyaki dikelar pada bahagian leher sebelah kanan. Mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Ismail (HSI) di sini," ujar beliau.

Menurutnya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula Ahad sehingga Sabtu ini.