Perlu ada pengumuman jumlah pelaburan Tesla, SpaceX - Shahril

Khairy dan Shahril semasa Program Keluar Sekejap pada Sabtu.
Khairy dan Shahril semasa Program Keluar Sekejap pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat mengumumkan jumlah pelaburan yang bakal dilakukan syarikat terkemuka, Tesla Inc dan SpaceX terhadap negara ini dalam masa terdekat.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia disebabkan ketika ini banyak pihak menyindir beliau kerana tidak memberikan penjelasan berkenaan pelaburan setelah melakukan pertemuan bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk.

“Yang diumumkan hanyalah ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman yang mana kita sudah tahu sebelum ini. Ini bukan baharu. Sekarang ini orang sindir sebab tiada penjelasan tentang apa pelaburan.

“Tetapi, harapan (saya) adalah mungkin apa yang tidak diumumkan dalam masa kehadapan adalah ada pelaburan. Saya rasa, (ini) penting. Kalau tidak, setelah tiga atau enam bulan tiada pengumuman konkrit daripada segi pelaburan berkaitan dengan Tesla, SpaceX dan sebagainya, maka sindiran yang kita lihat di Twitter hari ini akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Keluar Sekejap kelolaan bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disiarkan pada Sabtu.

Anwar pada Jumaat telah mengadakan pertemuan secara maya bersama Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.

Menurut Anwar, kerajaan mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat berkenaan ke Malaysia dan juga kesediaan Elon untuk datang ke negara ini.

Katanya, ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla juga akan dibuka di Selangor tahun ini.

Sementara itu, Khairy berkata, meskipun mendapat kecaman kerana melakukan pertemuan secara maya, perkara yang lebih penting adalah hasil daripada perbincangan tersebut.

“Mesyuarat dan pertemuan ini telah mengundang pelbagi reaksi terutamanya yang mempersoalkan, mempertikaikan format pertemuan tersebut iaitu secara maya. Bagi saya, tiada masalah. Hasil yang lebih penting.

“Saya nampak hasilnya diumumkan beberapa perkara lama, iaitu Tesla nak buka pejabat, buka bilik pameran. Ia dah lama kita tahu. Jadi dari segi pengumuman, ia tidak dari segi berbilion-bilion (pelaburan), kilang Tesla. Penyelidikan dan pembangunan pun tidak sebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, pertemuan pertama di antara Anwar dan juga Elon Musk itu dipercayai akan membuka ruang kepada perbincangan seterusnya.

“Saya tengok semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun hadir. Mungkin dari sini akan ada perbincangan lanjutan daripada pegawai Tesla, Starlink yang lebih konkrit,” ujarnya.