Hina Sultan Selangor: Isu Sanusi serah kepada PDRM

Amirudin Shari.
Amirudin Shari.
A
A
A

PETALING JAYA - Isu kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa mempertikaikan Sultan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan orang ramai terutama pemimpin dan ahli politik perlu berhati-hati ketika mengeluarkan ucapan atau kenyataan supaya ia tidak memakan diri.

"Akhirnya beliau (Muhammad Sanusi) minta ampun walaupun tidak mengaku salah, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat.

"Malah langkah kerajaan juga mengingatkan tentang jangan terlalu atau menunggang isu 3R iaitu agama, raja dan kaum kerana boleh memakan diri.

"Salah mengeluarkan pandangan akan menyebabkan masyarakat salah erti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Konvensyen Suara Anak Muda #Inimasakami di sini pada Sabtu.

Tambah Amirudin, perkara tersebut tidak sepatutnya timbul lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri, namun ia menjadi satu pengajaran buat semua.

"Kita patut bincang tentang fakta dan fokus membangunkan negara," ujarnya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan telah mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanusi utus surat kepada Sultan Selangor, mohon ampun

Ahli Dewan Diraja Selangor gesa Sanusi mohon maaf secara terbuka

Hina Sultan: Polis siasat Sanusi berkait isu 3R