Hina Sultan: Polis siasat Sanusi berkait isu 3R

Razarudin dan Muhammad Sanusi
Razarudin dan Muhammad Sanusi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedang disiasat berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum) pada Rabu.

"Kita telah membuka 61 kes berkaitan isu 3R sejak 27 Mac lalu, termasuk kes terbaharu melibatkan Muhammad Sanusi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Khamis.

Razarudin berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan berkaitan isu 3R melibatkan ahli politik, bekas ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Selain Muhammad Sanusi, kita turut menyiasat Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang," katanya.

Razarudin berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas melibatkan 21 pegawai dan anggota untuk menjalankan setiap siasatan berhubung kes 3R.

"Kes disiasat melibatkan isu 3R mengikut Seksyen Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kertas siasatan yang sudah lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, pihaknya mendapati isu 3R kerap dimainkan menjelang pilihan raya negeri (PRN).

"Kadang-kadang ada pihak bercakap terlampau seronok tanpa memikirkan perasaan orang lain, fitnah dan mengaibkan.

"Apa jua perkara sensitif melibatkan isu 3R kita akan siasat segera, mana-mana pihak yang didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Itu sikap sebenar Sanusi' - Amirudin

Hina Sultan: AMK Selangor akan buat laporan polis terhadap Sanusi

"Sanusi perlu buat taubat Nasuha'' - Ahmad Zahid

'Kenyataan Menteri Besar Kedah melampau, kurang ajar'

Hina Sultan: AMK Selangor buat laporan polis

Hina Sultan: Pihak berkuasa perlu buka kertas siasatan terhadap Sanusi