Skuad terjun negara terus kecewa di Fukuoka

Wakil China, Wang Feilong-Zhang Jiaqi merangkul pingat emas menerusi pungutan 339.54 mata di Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Ahad. - Foto: EPA
Wakil China, Wang Feilong-Zhang Jiaqi merangkul pingat emas menerusi pungutan 339.54 mata di Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Ahad. - Foto: EPA
A
A
A

SKUAD terjun negara terus ditimpa kekecewaan pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Ahad apabila gandingan Jellson Jabillin-Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj gagal menaiki podium menerusi acara 10 meter (m) seirama campuran.

Menurut laman sesawang kejohanan worldaquatics.com, Jellson-Nur Eilisha Rania mengutip 251.64 mata untuk berada pada tangga ke-12 daripada 14 pasangan pada aksi final yang berlangsung di Fukuoka Prefectural Pool.

Wakil China Wang Feilong-Zhang Jiaqi nyata berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul pingat emas menerusi pungutan 339.54 mata, diikuti Jose Balleza Isaias-Viviana Del Angel Peniche dari Mexico meraih perak (313.44 mata) dan penerjun Jepun Hiroki Ito-Minami Itahashi di tangga ketiga (305.34 mata).

Bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki, wakil negara Ooi Tze Liang-Muhammad Syafiq Puteh menamatkan saingan di tangga ke-19 daripada 27 pencabar pada pusingan kelayakan selepas memperoleh 326.73 mata, sekali gus gagal melayakkan diri ke final yang akan berlangsung petang ini.

Gandingan Wang Zongyuan-Long Daoyi dari China mengungguli pusingan itu dengan mencatatkan 451.44 mata, disusuli Tocci Giovanni-Marsaglia Lorenzo dari Itali (384.69 mata) manakala Jack Laugher-Anthony Harding dari Great Britain di tempat ketiga (383.46 mata).

Hari pertama kejohanan pada Sabtu, empat penerjun negara gagal meneruskan cabaran ke final acara 1 meter (m) papan anjal individu bagi kategori lelaki dan wanita.

Kejohanan berlangsung hingga 30 Julai ini. - Bernama