Messi nyaris kemalangan selepas langgar lampu merah

Messi
Messi
A
A
A

PEMAIN baharu Inter Miami, Lionel Messi nyaris terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya melanggar lampu merah di Miami, Florida, Amerika Syarikat.

Kejadian itu dirakam media Argentina, Tyc Sports yang memperlihatkan kenderaan SUV putih dinaiki Messi sedang diiringi oleh polis Fort Lauderdale sebelum tiba di lampu isyarat dan membelok ke kiri.

Sebuah kenderaan dari arah kanan yang dipandu laju hampir melanggar kenderaan Messi, namun sempat mengelak dan lalu di hadapan kenderaan dinaiki Messi.

Tidak dapat dipastikan sama ada Messi yang memandu kenderaan itu, namun diketahui bahawa pemain berusia 36 tahun itu berada dalam kenderaan SUV putih tersebut.

Ia hampir menjadi permulaan yang buruk untuk karier Messi di Miami, dengan pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu masih belum menandatangani kontrak bersama kelab itu.

Miami dijadualkan untuk memperkenalkan Messi secara rasmi pada Ahad dan pemain itu dilaporkan akan membuat penampilan sulung pada 21 Julai menentang Cruz Azul dalam Piala Liga.