Ali baba perlu dihentikan, punca rasuah - Rafizi

Rafizi, Kenyataan dimuat naik Rafizi di akaun Twitternya.
Rafizi, Kenyataan dimuat naik Rafizi di akaun Twitternya.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Budaya ali baba perlu dihentikan segera kerana ia boleh menjadi punca kepada rasuah dan ketirisan dalam sektor ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, menangani amalan itu memerlukan penyelesaian menyeluruh dan berstruktur.

Katanya, ini kerana terdapat perniagaan yang dimiliki oleh rakyat tempatan tetapi disewakan kepada warga asing selain pembinaan projek menjadi mahal ekoran ada pihak yang mengambil persen.

"Bina projek sepatutnya harga murah, tapi sebaliknya berlaku. Cerita pasal budaya ali baba dalam ekonomi kita memang macam-macam," ujarnya menerusi laman Twitter pada Sabtu.

Tambah beliau, menghapuskan budaya ali baba dalam sektor ekonomi tidak boleh sekadar cakap kosong tetapi perlu ada tindakan segera.

"Oleh itu, Kerajaan Perpaduan akan memperkenalkan undang-undang anti ali baba sebagai langkah pengharaman budaya ini dalam sektor ekonomi negara.

"Dianggarkan negara mengalami rugi sekitar RM17 hingga RM18 bilion kerana amalan tersebut," jelasnya.

Beliau turut mengharapkan kerangka undang-undang itu dapat menyelesaikan salah satu ketempangan utama ekonomi negara.