Penghantar makanan maut terperosok bawah lori sampah

Mangsa maut di lokasi kejadian.
Mangsa maut di lokasi kejadian.
A
A
A

MELAKA - Seorang penghantar makanan sempat menyerahkan pesanan kepada pelanggannya sebelum maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lori sampah di Jalan Gaung Piring, Cheng di sini pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Nor Adam Asraff Abdullah, 37, yang beralamat di Taman Tanjung Minyak meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian jam 1.15 petang, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dalam perjalanan pulang ke tempat kerja di sebuah restoran makanan segera di Cheng selepas menghantar pesanan pelanggan.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa hilang kawalan lalu bergeser dengan lori itu menyebabkan mangsa terperosok di bawah kenderaan berat tersebut.

"Kenderaan berat itu dipercayai dari arah Kampung Solok Gaung Piring menghala ke Sekolah Tun Haji Malik, Cheng dan cuba mengelak ke kiri.

"Impak pergeseran, mangsa terjatuh dan terperosok di bawah lori terbabit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

"Tiada saksi bebas yang tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.