Dua remaja curi tabung dalam restoran ditahan

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan satu video berdurasi dua minit lima saat tular di media sosial dan memaparkan tindakan dua lelaki menyelongkar premis dan melarikan dua tabung berkenaan.
Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan satu video berdurasi dua minit lima saat tular di media sosial dan memaparkan tindakan dua lelaki menyelongkar premis dan melarikan dua tabung berkenaan.
A
A
A

BEAUFORT - Dua individu yang tular di media sosial kerana memecah masuk sebuah restoran dan melarikan dua tabung berisi wang berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini.

Kedua-dua suspek berusia 15 dan 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Khamis selepas pengadu menyedari dua tabung yang diletakkan di restoran itu hilang.

"Kejadian berlaku pada jam 9.50 malam Selasa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua individu menggeledah kawasan depan kaunter kedai berkenaan.

"Pengadu mendapati dua tabung madrasah dan tabung persendirian milik kedai itu hilang dengan kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM300," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, susulan daripada laporan yang diterima risikan segera dilakukan dan berjaya mengenal pasti suspek.

"Pasukan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort berjaya menangkap dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit.

"Hasil tunjuk arah oleh kedua-dua tangkapan itu berjaya menemui semula tabung kosong yang dipercayai barang yang hilang dalam kes ini. Tabung itu dibuang tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Ismail berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing.

"Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

"Suspek akan dihadapkan ke Makamah Majistret Beaufort untuk permohonan reman bagi meneruskan siasatan," katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan satu video berdurasi dua minit lima saat tular di media sosial dan memaparkan tindakan dua lelaki menyelongkar premis dan melarikan dua tabung berkenaan.