Tular aksi dua lelaki pecah masuk, curi tabung restoran

Dua individu yang memecah masuk restoran berkenaan cuba melarikan diri dan salah seorang daripadanya sedang memegang objek dipercayai tabung dalam kejadian di Kampung Bingkul, Beaufort.
Dua individu yang memecah masuk restoran berkenaan cuba melarikan diri dan salah seorang daripadanya sedang memegang objek dipercayai tabung dalam kejadian di Kampung Bingkul, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Tindakan dua individu memecah masuk sebuah restoran membawa padah apabila kegiatan mereka itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman video itu tular di media sosial sejak malam Selasa.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Kampung Bingkul di sini pada malam Isnin lalu dan menerusi hantaran di Facebook, pemilik dipercayai sedang mencari kedua-dua individu berkenaan.

Menerusi video berdurasi dua minit lima saat itu memaparkan dua individu dipercayai sedang menyelongkar barang dalam restoran berkenaan.

Dua individu dipercayai sedang menyelongkar barang dalam restoran berkenaan yang berlaku di Kampung Bingkul, Beaufort.
Dua individu dipercayai sedang menyelongkar barang dalam restoran berkenaan yang berlaku di Kampung Bingkul, Beaufort.

Kedua-duanya kemudian bertindak melarikan diri dan salah seorang daripadanya memegang objek dipercayai tabung yang mengandungi wang.

Difahamkan, barang yang telah dicuri ialah tabung persendirian restoran berkenaan bersama sebuah lagi tabung milik madrasah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan daripada pemilik premis berkenaan.

"Hasil semakan setakat ini belum ada laporan polis dibuat. Bagaimanapun, pegawai sudah ke lokasi kejadian dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.