Penunggang motosikal maut bertembung Proton Exora

Keadaan motosikal dan Proton Exora yang terbabit dalam kemalangan KM2 Jalan Muar-Labis, pada Jumaat. - Foto BBP Labis
Keadaan motosikal dan Proton Exora yang terbabit dalam kemalangan KM2 Jalan Muar-Labis, pada Jumaat. - Foto BBP Labis
A
A
A

SEGAMAT - [KEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal maut apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), di Kilometer (KM) 2 Jalan Muar-Labis, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit yang dalam perjalanan dari Labis ke Muar bertembung dengan MPV berkenaan dari arah Muar ke Labis.

"Hasil siasatan, pemandu MPV jenis Proton Exora dari arah Labis menghala ke arah Muar gagal mengawal kenderaan dipandunya di KM2 Jalan Muar sehingga masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal jenis Naza yang datang dari arah Muar.

"Siasatan lanjut mengesahkan penunggang motosikal berusia 24 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepalan dan badan sementara pemandu MPV terbabit iaitu lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah dan difahamkan masih menerima rawatan di Hospital Segamat," katanya.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan maut.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan II Hairisyah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 8.21 pagi, Jumaat.

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Labis dan 10 anggota bomba telah dihantar ke tempat kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) ke tempat kejadian, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Exora.

"Berdasarkan maklumat, penunggang motosikal iaitu seorang lelaki berumur 24 tahun maut di tempat kejadian dan telah disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir sementara pemandu kereta Proton Exora iaitu lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan namun tidak tersepit.

"Mangsa yang maut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar 9.51 pagi, Jumaat," katanya.