Dulu ada 'Superman', kini 'Superwoman' pun nak tunjuk jaguh

Tular aksi sekumpulan wanita bertudung menunggang motosikal dengan laju, mencelah dan memotong kereta tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.
Tular aksi sekumpulan wanita bertudung menunggang motosikal dengan laju, mencelah dan memotong kereta tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.
A
A
A

PADA Rabu lepas, tular satu video yang memaparkan aksi sekumpulan wanita menunggang motosikal di sebuah lebuh raya dalam keadaan berbahaya.

Menerusi video yang dikongsi seorang pelawak terkenal tanah air di laman Twitter miliknya, jelas kelihatan mereka yang bertudung itu menunggang motosikal dengan laju, mencelah dan memotong kereta tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.

Lebih mengejutkan Merak Jalanan, terdapat beberapa orang daripada mereka turut melakukan aksi ‘Superman’ atau lebih tepat digelar ‘Superwoman’ kerana yang melakukannya adalah golongan wanita.

Merak Jalanan pernah bujang, namun tak tahu di mana hebatnya aksi-aksi ‘Superman’ dan ‘Superwoman’ ini. Dengan kedua-dua kaki di tempat duduk, bagaimanakah hendak menekan brek jika sesuatu tidak diingini berlaku.

Jika terjatuh, muka ayu boleh jadi berparut, kulit licin boleh jadi menggerutu dengan kesan-kesan luka. Kan dah jatuh ‘saham’ bak kata orang muda, dah tak boleh letak wang hantaran tinggi-tinggi.

Malah, jika masih bujang, tak sempat pula nak rasa kebahagiaan alam rumah tangga sebagai isteri sekiranya kehilangan nyawa semasa melakukan aksi-aksi berbahaya sebegini.

Cukuplah jika perbuatan bodoh itu hanya dilakukan oleh pelesit rempit yang majoritinya tentunya daripada kaum Adam.

Merak Jalanan tak faham apa yang cuba dibuktikan dengan melakukan aksi ‘Superman’, lebih-lebih lagi ‘Superwoman’.

Mungkin lelaki hendak membuktikan siapa yang lebih hebat kepada rakan-rakannya, mungkin juga boleh jadi lebih ‘macho’ jika ada parut di muka atau tangan.

Tetapi apa yang cuba dibuktikan oleh ‘Superwoman’ Malaysia ini? Wanita di negara ini terutama wanita Melayu terkenal dengan kesopanan dan lemah lembut. Aksi sebegini tidak mencerminkan kelembutan wanita, apatah lagi yang bertudung.