Barisan peguam bantu PU Syed lawan Baby Shima

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nik Saiful Adli
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Nik Saiful Adli
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa peguam bertindak menawarkan khidmat nasihat perundangan secara percuma kepada selebriti dakwah Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkait saman fitnah yang difailkan penyanyi wanita, Nor Ashima Ramli atau Baby Shima.

Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan (PBPIK), Nik Saiful Adli Burhan berkata, nasihat dan khidmat guaman itu disediakan melalui firma guaman Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli.

Menurut Nik Saiful Adli, pihaknya akan mendapatkan pandangan semua peguam yang sudi menawarkan bantuan berkenaan jika diperlukan dan bersedia membantu individu yang ditekan oleh undang-undang dalam menjalankan kerja dakwah.

“Akan ada lebih ramai lagi peguam yang akan membantu PU Syed.

“Mungkin di luar sana ramai yang takut nak menegur ke arah kebaikan jika perbuatan dakwah menjadi suatu pelanggaran undang-undang sama ada di bawah undang-undang sivil atau tort dan saya akan pastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Baby Shima memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Malaya, Ipoh serta Mahkamah Tinggi Malaya, di sini.

Saman difailkan terhadap pendakwah PU Syed dan Ketua Pemuda Pas Kuantan, Abd Rahman Mat Noor berkaitan ucapan kata-kata fitnah terhadapnya.

Kata Nik Saiful Adli, dua lagi peguam berpengalaman dalam mengendalikan kes fitnah turut menawarkan perkhidmatan sama secara percuma kepada pendakwah berkenaan.

“Mereka ialah peguam Azwan Mat Hussain dari Tetuan Rafizah Azwan & Associates di Kota Bharu dan Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dari Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani di Shah Alam, Selangor,” ujarnya.