Pandelela-Nur Dhabitah sandaran pingat di Fukuoka

Nur Dhabitah dan Pandelela Rinong. - Foto Agensi
Nur Dhabitah dan Pandelela Rinong. - Foto Agensi
A
A
A

GANDINGAN ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri diharapkan mampu menjelmakan pingat buat negara bagi acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata, mereka berpeluang cerah meraih kedudukan podium sekali gus menempah slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris sekiranya mampu melakukan terjunan mengagumkan dalam kejohanan tersebut.

Katanya, tiga pasangan terbaik yang bersaing bagi acara seirama akan mendapat tiket ke Sukan Olimpik 2024 manakala 12 penerjun terbaik dalam acara individu turut layak ke temasya sukan terbesar dunia tersebut.

“Podium tidak mustahil, peluang ada namun ia merupakan pertarungan yang sukar kerana perlu beraksi dengan cemerlang untuk dapatkan pingat.

“Bagaimanapun, MS merasakan acara 10m platform seirama wanita (Pandelela-Nur Dhabitah) berpeluang cerah raih pingat berdasarkan pengalaman dimiliki mereka sebelum ini,” katanya.

Tahun lalu, gandingan Pandelela-Nur Dhabitah pernah meraih gangsa pada kejohanan sama yang berlangsung di Budapest, Hungary.

Sekiranya penerjun negara tidak membawa pulang pingat, Andy berharap agar mereka sekurang-kurangnya mampu memperbaiki prestasi dan memungut markah tinggi pada saingan berlangsung di Fukuoka Prefectural Pool.

Selain Pandelela dan Nur Dhabitah, antara penerjun yang bakal membuat penampilan di Fukuoka adalah Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh, Gabriel Gilbert Daim, Enrique Maccartney Harold, Kimberly Bong dan Nur Eilisha Rania Abrar Raj.

Sementara itu, Nur Eilisha Rania yang bakal membuat kemunculan pertama pada Kejohanan Akuatik Dunia mengakui teruja untuk berentap bersama penerjun handal dunia lain di Fukuoka.

Atlet Sarawak yang bakal bersaing dalam acara 10m platform wanita itu juga berharap dapat menebus kekecewaan dengan menampilkan aksi lebih baik selepas gagal menyinar di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Di Phnom Penh, penerjun berusia 17 tahun itu sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara platform wanita di belakang atlet muda negara, Lee Yiat Qing yang unggul merangkul emas.

Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka yang berlangsung selama lebih dua minggu akan berakhir 30 Julai ini. - Bernama